sumber:genta-rasa.com (us.Pahrol)
Sejak awal ketika memasuki masjid saya
sudah melihatnya. Cuma kami berdua. Jadi, saya rasa kami saling
menyedari kehadiran masing-masing. Selesai solat, dia solat lagi.
Kemudian tafakur atau berzikir.
Tak lama kemudian, terus membaca Al
Quran. Begitulah keadaannya. Saya tidak ingat berapa lama dia dalam
keadaan begitu kerana saya juga sibuk dengan hal sendiri. Memang
beginilah rutin pagi saya. Jika terperangkap di dalam kesesakan lalu
lintas, saya akan singgah di mana-mana masjid untuk iktikaf sambil
melaksanakan tugasan atau menulis seadanya.
Beberapa lama kemudian, tanpa saya
sedari dia sudah berada di sebelah saya. Setelah saling bersalaman,
menegur dan takruf, kami mula berbual.
“Apa yang ustaz tulis dalam blog
baru-baru ini telah menimpa saya,” katanya dengan wajah suram.
Rupa-rupanya dia mengikuti tulisan dalam buku, majalah, blog dan FB
saya.
“Entri yang mana?” tanya saya pinta kepastian.
“Tajuknya, ujian cinta… Kebetulan cinta saya sedang diuji. Sakit.”
“Mengapa?”
“Isteri saya telah meninggalkan rumah kami kerana memburu cinta barunya!”
Saya benar-benar terkejut. Bayangkan,
lelaki yang berada di hadapan saya sekarang bukan muda. Dia telah
berusia. Malah lebih tua daripada saya. Sejak awal perbualan kami dia
telah memaklumkan usianya… 65 tahun! Dalam hati saya sudah terbayang,
ini mesti kes isteri muda meninggalkan suami tua.
“Berapa umur isteri tuan?” tanya saya untuk mendapat kepastian.
“53 tahun,” jawabnya. Saya tambah terkejut. Wah, ini luar biasa. Cinta baru ‘orang lama’.
“Dia terpaut dengan teman sepejabatnya. Dia menuntut fasakh daripada saya sejak setahun lalu.”
“Alasannya?”
“Penderaan mental!”
Saya terdiam. Bunyi kipas di dinding
masjid itu sahaja yang menemani kami. Sepi. Sungguh sunyi… rumah Allah
pada waktu-waktu begini. Mungkin, sesunyi hati seorang lelaki yang
kehilangan cintanya.
“Tuan tidak melepaskannya?”
“Tidak akan. Saya akan terus bertahan. Walaupun sekarang menuntut cerai di mahkamah dan telah pun lari dari rumah.”
“Subhanallah!” saya terpaku kaku
menghadapi realiti rumah tangga masa kini. Sangat ‘daring’ rupanya
karenah manusia yang bercinta. Benarlah seperti yang pernah saya
tuliskan dulu: Jika tepat pada masa, ketika dan siapa, cinta adalah satu
kuasa luar biasa yang tidak ada tandingannya. Sayangnya, ‘kuasa luar
biasa’ itu sering disalah gunakan. Kuasa yang luar biasa itu sering
membawa kemusnahan. Media massa melaporkan betapa ramai remaja wanita
Melayu paling ramai lari dari rumah mengikut kekasih hati, lahirnya
ramai anak luar nikah angkara cinta zina, bayi dibuang merata-rata
akibat cinta terlarang… dan kini, cinta telah meruntuhkan rumah tangga
manusia yang telah bergelar datuk dan nenek.
“Apa yang boleh saya buat ustaz? Pujuk telah dipujuk. Marah sudah dimarah. Namun dia tidak mahu kembali…”
“Selalu ke masjid macam ni?” kilas saya
untuk memberi ruang pada diri untuk merasa dan berfikir. Ini bukan
soalan mudah. Tetapi ia menagih empati tahap tinggi yang benar-benar
terpantau dari dalam hati nurani yang paling suci. Sesungguhnya, saya
tidak mampu.
“Sejak akhir-akhir ini, beginilah saya
ustaz. Harta walaupun tidak lumayan tetapi sudah dikira lebih daripada
cukup. Saya tak perlu bekerja lagi. Semua cukup. Segala-galanya berjalan
dengan baik sekiranya tragedi ini tidak menimpa…” keluhnya.
“Mengapa tiba-tiba ini terjadi?” soalnya lagi.
“Allah takdirkan segala-galanya untuk
kita kembali kepadaNya. Saya rasa inilah jawapannya pada soalan yang
awak tanyakan. Ingat lagi cerita ‘Wak’ dalam entri itu? Dia kembali
kepada cinta Allah. Jangan ada dendam. Jangan ada marah… walaupun kita
rasa ditipu dan dikecewakan. Usahakan kembali untuk mendapat cintanya,
tetapi jika sudah ditemui jalan buntu. Berfikirlah semula… solat
Istikharah, apakah perlu perkahwinan ini diteruskan?”
“Ustaz rasa patut saya ceraikan dia?”
“Saya tidak mampu membuat keputusan bagi
pihak awak. Awak lebih faham situasi yang sedang dihadapi. Lagipun saya
tidak mendengar daripada pihak yang lagi satu. Mahkamah yang lebih
berhak untuk memutuskannya. Kita sekarang di masjid, untuk mencari
ketenangan bukan mencari keadilan. Ketenangan untuk menghadapi ujian
hasil akrabnya perhubungan dengan Allah – Tuhan yang mengurniakan ujian
itu untuk kita.”
“Apa pesan ustaz?”
“Pesan saya ialah pesan yang selalu saya
bisikan pada diri saya sendiri… jagalah Allah, Allah akan jaga kita.
Allah lebih besar daripada masalah kita. Pintalah kepada Allah agar
memutuskan sesuatu yang baik buat kita walaupun keputusan itu nanti
mungkin berlawanan dengan apa yang kita inginkan!”
“Saya sepi ustaz…”
“Kita akan sepi bila hati kita sepi
dengan Ilahi. Bila terpisah dengan Allah, kita akan sunyi walaupun
semua orang yang tersayang masih di sisi. Kita boleh kehilangan seorang
isteri, tetapi kita tidak mampu ‘kehilangan’ Allah dengan
melupakan-Nya.”
“Isteri saya akan kembali?”
“Itu tidak pasti. Hati orang… mana
mungkin kita menentukannya. Tetapi yang pasti, tuan telah kembali.
Kembali kepada Allah, kembali ke rumahNya ini… hati orang yang berada di
rumah Allah tidak akan sunyi.”
Saya teringat bagaimana Rasulullah SAW
sendiri mengasingkan diri di tingkat atas masjid Nabawi ketika baginda
diuji oleh ragam isteri-isterinya. Begitulah tawaduknya baginda. Baginda
pun kembali kepada Allah sewaktu diuji. Lantaran itu, Allah telah
menurunkan surah Al Tahrim ayat 5, sebagai penghibur kepada jiwanya.
Firman Allah itu bermaksud: “Jika nabi menceraikan kamu, boleh jadi
Tuhannya akan memberi ganti kepadanya dengan isteri yang lebih baik
daripada kamu, yang patuh, yang beriman, yang taat, yang bertaubat, yang
mengerjakan ibadat, yang berpuasa, yang janda dan yang perawan.
Ya, kehilangan acap kali menemukan kita
kepada sesuatu yang lebih berharga. Itulah ajaibnya cinta Allah dalam
hati hamba-Nya. Hati suami yang mencintai Allah selamanya tidak akan
sunyi. Sekiranya dia benar-benar mencintai Allah, dia akan tenang, sama
ada ketika isteri masih di sisi atau sudah tiada lagi. Justeru, apabila
diuji, kembalilah ke rumah Allah, dan jangan lupakan doa ini: ”Ya Allah,
berikanlah cintaMu kepada ku dan jadikanlah aku mencintai orang yang
mencintaiMU dan mencintai segala sesuatu yang membawa kepada
kecintaanMu. “
Waktu menghampiri jam 11 tengah hari.
Saya terpaksa pergi. Ketika melangkah ke luar masjid, mata saya sempat
melirik ke arah lelaki tersebut. Dia masih duduk bersimpuh di sana,
dengan Al Quran yang terus terbuka di tangannya. Ya Allah, Kau
berikanlah ketenangan buat hatinya yang sunyi. Berikanlah kepadanya
cintaMU yang sejati! Agar, kami tidak menjadi lelaki-lelaki yang sunyi.
Amin.
credit to:genta-rasa.com
better,baca juga komen-komen yang telah dilontarkan dlm belog ttersebut ye.bagaimana telah kubaca bait-bait yang tertera dlm belog ustaz pahrol tentang permasalahan hati..sekalipun usia sudah mengjangkau tua (spt pakcik tersebut) namun hidup kita ini senantiasa di uji. ujian kemiskinan,kekayaan,kecantikan,kematian,perkahwinan dsb lumrah hidup sebagai manusia yang mempunyai hati dan perasaan.
kudoakan moga ibadahku, kehidupanku, kekeluargaanku , perkahwinanku, dalam peliharaanNya.jauhkan kami daripada kegelisahan ,Ya Allah berikan kepada kami keberkatan dan ketenangan kepada kami.Engkau tetapkan imanku,tetapkan hatiku selamanya menyayanginya senantiasa walaupun aku ni tak romantik cam dia (suamiku).hehehehe..suamiku sesungguhnya engkau lelaki terbaikkkk...
No comments:
Post a Comment